Friday, January 22, 2010

MACC must act in good faith

KENYATAAN AKHBAR


21 JANUAR1, 2010


KERAJAAN SELANGOR MENGINGATKAN SPRM AGAR BERTINDAK

SECARA BERHEMAH

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri berharap beberapa serbuan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini tidak bertujuan untuk menjatuhkan maruah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

Dalam pada Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha membendung perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik mahupun kakitangan lainnya, sebaliknya Kerajaan Negeri tidak bersedia bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri menerusi pelbagai cubaan untuk memalukan kakitangannya.

Dalam hubungan ini Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor ingin menjelaskan di sini iaitu Pekeliling Kerajaan Negeri bertarikh 28 Julai 2009, mencatatkan bahawa sekiranya SPRM berhasrat melakukan siasatan terhadap kakitangan Kerajaan Negeri maka perjumpaan tersebut hanya boleh diadakan dari pukul 8.00 pagi ke pukul 6.30 petang, dan dengan kehadiran seorang peguam yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

Bantahan tentang kesahihan kandungan pekeliling tersebut oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail masih dalam kes mahkamah. Maka dalam hal ini pegawai-pegawai SPRM sewajarnya menghormati pekeliling Kerajaan Negeri itu, yang melindungi hak seluruh kakitangannya.

Perlu juga dijelaskan di sini iaitu sehingga saat ini beberapa siasatan SPRM terhadap segelintir Pegawai Kerajaan Negeri Selangor termasuk terhadap Menteri Besarnya, dilihat hanya berfokus pada isu-isu remeh. Ini sebagaimana diperlihatkan pada serbuan kelmarin di pejabat YB Yaakob Sapari dengan penahanan reman terhadap pembantu eksekutif beliau, Haji Hussein Ahmad.

Kerajaan Negeri juga terkejut dengan perkembangan terakhir siasatan tersebut dimana SPRM telahpun menggeledah rumah Haji Hussein tanpa waran geledah yang sah. “ Kerajaan Negeri mahu SPRM Selangor memberi penjelesan mengapa perkara boleh berlaku,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahan pula, penyiasatan SPRM melibatkan sebuah syarikat yang tidak tersenarai dalam pemberian kontrak aktiviti pelombongan pasir. Tuduhan SPRM bahawa pemergian seorang pegawai ke China ditanggung oleh kontraktor tertentu juga tidak benar kerana Kerajaan Negeri yang sebenarnya membiayai kos kunjungan dua hari Haji Hussein itu yang menelan belanja sebanyak RM3,295.

Justeru itu, pihak kerajaan negeri berhak meragui akan motif dan integriti siasatan pegawai-pegawai SPRM terhadap isu-isu remeh yang berlaku dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor sedangkan pegawai-pegawai SPRM sewajarnya menggunakan masa dan tenaga yang sangat berharga untuk menyiasat penyalahgunaan wang rakyat yang bernilai ribuan juta ringgit termasuk RM1.7 juta oleh mantan menteri besar Selangor dan rombongannya semasa melancong ke Disneyland di Amerika Syarikat dan di Peranchis.

“Jadi, apakah keutamaan SPRM? Badan ini sepatutnya menentukan keutamaan dan lantas menyiasat isu-isu besar yang melibatkan penyalahgunaan ribuan juta ringgit wang rakyat atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu yang sudah sekian lama berlaku dalam negeri atau negara Malaysia seluruhnya. Hal ini mesti diutamakan oleh SPRM agar tindakan SPRM dilihat tidak sebagai alat politik untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu di Putrajaya sahaja. dalam hal ini, sekiranya SPRM bertindak secara profesional dan bebas, kerajaan negeri dengan senang hati bersedia memberikan bantuan yang sewajarnya, “ kata Tan Sri Abdul Khalid.


SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR.

1 comment:

davis said...

Stealing and smuggling of sand in Selangor. This is not something new. It has been going on for ages. Suddenly, MACC decides to take action. Is MACC going to trace back the stealing and smuggling of sand to 1999? If not, why not?