Saturday, May 22, 2010

Updates on Lagoon Perdana (uncompleted units)

STATUS TERKINI PROJEK LAGOON PERDANA BLOK 1, 3, 7 & 8

Tuan/Puan,

Sukacita saya ingin merujuk kepada e-mail Tuan/Puan yang ditujukan untuk Y.B. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini. Untuk makluman Tuan/Puan, mesyuarat terkini bersama wakil syarikat Talam Corporation Berhad (TCB) telah diadakan di Jabatan Perumahan Negara pada 19/5/2010. Tujuan mesyuarat tersebut diadakan adalah untuk membincangkan projek-projek bermasalah yang dimajukan oleh syarikat ini termasuk projek Lagoon Perdana Blok 1, 3, 7 dan 8.

Berdasarkan maklumbalas yang diberikan oleh wakil TCB, kerja-kerja pembinaan untuk Blok 1,3 dan 8 telah siap. Akan tetapi terdapat wakil TCB memaklumkan terdapat dua isu utama yang masih belum diselesaikan untuk projek ini sebelum Sijil Kelayakan Menduduki boleh diperolehi. Dua isu utama yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-

1. Isu kedudukan pemasangan meter bacaan bekalan elektrik

Wakil TCB memaklumkan pihaknya sedang berurusan dengan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menyelesaikan isu kedudukan pemasangan meter untuk setiap unit bagi projek ini. Berdasarkan maklumbalas daripada TCB juga satu perbincangan lanjut akan diadakan antara Adun Subang Jaya, pihak TNB dan TCB berkenaan masalah ini.

2. Isu bayaran wang sumbangan kepada pihak MPSJ

Wakil TCB memaklumkan pihaknya sedang berurusan dengan pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi menyelesaikan isu bayaran wang sumbangan yang masih belum dijelaskan kepada MPSJ. Rayuan sedang dibuat oleh TCB supaya pihak MPSJ dapat mempertimbangkan pengecualian ke atas syarat tersebut. Wakil MPSJ yang turut hadir juga memaklumkan keputusan rayuan tersebut hanya boleh ditentukan pada mesyuarat antara ahli majlis kelak.

Sebagaimana Tuan/Puan sedia maklum, kemajuan kerja untuk blok 7 masih belum bergerak. Melalui maklumbalas TCB, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama semua pembeli untuk blok 7 ini bagi memaklumkan status blok ini dan pelan tindakan yang hendak ditawarkan kepada pembeli.

Melalui beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan di JPN, pemaju memaklumkan punca utama kelewatan menyiapkan rumah untuk projek ini adalah disebabkan masalah kewangan.

Sebagai langkah pencegahan, JPN telah mengambil langkah supaya syarikat pemaju ini disenaraihitamkan bagi sebarang permohonan untuk mendapatkan lesen pemajuan perumahan yang baru ataupun sebarang pembaharuan ke atas permit iklan dan jualan. Ini untuk mengelakkan lebih ramai rakyat membeli rumah ini ataupun menghadapi masalah kegagalan mendapatkan rumah yang dibeli ke atas projek-projek yang dilaksanakan pemaju ini.

JPN memandang serius terhadap kelewatan penyiapan dan seterusnya penyerahan rumah ini kepada pembeli oleh pihak pemaju.

Usaha-usaha JPN ini adalah tertumpu kepada satu tujuan utama iaitu untuk memastikan projek perumahan ini dapat disiapkan oleh pemaju dan diserahkan kepada pembeli rumah tanpa melibatkan implikasi perundangan yang lebih kompleks.

JPN sentiasa mengambil segala tindakan dan usaha selaras dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 demi menjaga kepentingan pembeli rumah. JPN juga akan terus memantau projek ini sehingga disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan oleh pemaju ini. Pihak kami juga memohon maaf di atas kelewatan menyediakan maklumbalas pertanyaan Tuan/Puan berhubung projek ini.

Sekian, terima kasih.

~ melalui email ~
Ir. LAI LIANG KOONG
Pengarah
Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta
Jabatan Perumahan Negara
Tel : 03-20874602

No comments: