Monday, January 7, 2013

GANGGUAN BEKALAN AIR TIADA KAITAN LANGAT 2


KENYATAAN AKHBAR
7 JANUARI 2013
GANGGUAN BEKALAN AIR TIADA KAITAN LANGAT 2

Hari ini saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamad Khusrin Munawi dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor telah melawat Rumah Pam di Wangsa Maju bagi meninjau kerja-kerja membaiki pam yang menjadi punca gangguan bekalan air kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Turut bersama saya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Suhaimi Kamarulzaman dan Pengarah Konsortium Abbas Sdn Bhd, Abas Abdullah. Mereka ini adalah antara orang yang akan bertanggungjawab menguruskan operasi air apabila kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

Saya telah mendengar taklimat daripada wakil Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang menerangkan bagaimana sistem pam itu berjalan dan saya mengingatkan SYABAS menyelesaikan masalah ini dengan segera supaya operasi air kembali seperti biasa.

Saya juga mengingatkan SYABAS tentang pentingnya sistem pemantauan dan perlu lebih pro-aktif untuk memastikan kelima-lima pam ini berjalan dengan baik serta lancar.

Berdasarkan laporan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang telah mengadakan lawatan ke rumah pam ini pada 2 Januari lalu, kita mendapati 4 daripada 5 pam telah rosak manakala satu pam sedang diselenggara dan tidak beroperasi  pada masa lawatan itu.

Jawatankuasa ini mendapati pam nombor dua telah rosak sejak setahun lalu dan tidak diperbaiki kerana tiada alat ganti manakala pam nombor 4 dan 5 rosak pada malam 28 Disember 2012 ketika beroperasi secara serentak.

Dakwaan SYABAS bahawa kesemua pam beroperasi melebihi had menyumbang kepada kerosakan pam adalah tidak benar. Sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam-pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari. Kadar aliran purata pam-pam tersebut adalah 182.204 juta liter sehari.

Kita tidak boleh menerima alasan SYABAS kerana syarikat ini sepatutnya memastikan kelima-lima pam ini berada dalam keadaan baik dan penyelenggaraan secara berkala menjadi prosedur wajib yang ditetapkan dalam Standard Operating Procedure (SOP).

SYABAS sepatutnya membaiki dan menyelenggara pam-pam ini sejak awal-awal lagi dan bukannya membaikinya apabila berlaku gangguan bekalan air.

Kerajaan Selangor kesal apabila SYABAS mengaitkan gangguan bekalan air ini dengan pembinaan Loji Langat 2 sedangkan ia tiada kaitan langsung.  Kita mempunyai bekalan air yang mencukupi tetapi oleh kerana kegagalan SYABAS memastikan pam-pam ini dalam keadaan baik, pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas.

SYABAS juga gagal menurunkan kadar peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) di bawah paras 30% seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. Jika loji baharu dibina,  kekurangan bekalan air bersih kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak selesai kerana kelemahan SYABAS.

Justeru, kita mendesak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  memandang serius masalah yang ditanggung rakyat dan mempercepatkan proses penstrukturan semula dengan membenarkan Kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan pembekalan air seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 atau WSIA.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa tempatan di Selangor  kerana  menghantar lori tangki air untuk membantu pengguna di Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat gangguan ini.

Kerajaan Selangor  perlu menjaga kepentingan kepada pengguna di Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana jika Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi, Kerajaan Selangor bertanggungjawab membekalkan air secukupnya kepada rakyat di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kadar tarif sama dengan pengguna di Selangor.

YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

1 comment:

Anonymous said...

Tolong bantu selesaikan masalah ini. Peranan anda untuk selesaikan masalah. Bukan salah menyalah antara satu sama lain. Air dibawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan pusat. Rumah saya di SS18 dekat sekolah kamu takde air sejak pagi tadi .Tolong hannah