Thursday, January 31, 2013

SELANGOR AKAN AMBIL ALIH PERKHIDMATAN AIR DALAM TEMPOH 14 HARI


KENYATAAN AKHBAR
30 JANUARI 2013
SELANGOR AKAN AMBIL ALIH PERKHIDMATAN AIR DALAM TEMPOH 14 HARI
 
Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.
 
Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.
 
Justeru,  dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.
 
Dalam perkembangan berkaitan, kita mendapat aduan rakyat bahawa SYABAS telah  mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air. Hasil dari siasatan awal yang kita lakukan didapati kenyataan SYABAS tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal SYABAS, Ir V Subramaniam.
 
Dengan ini SYABAS mengeluarkan risalah ini tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah SYABAS. Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam SYABAS, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan.
 
Kerajaan Negeri Selangor juga telah dimaklumkan bahawa mutaakhir ini berlaku kekerapan kejadian paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat. Kerajaan Negeri Selangor akan memantau perkara ini dengan serius demi menjaga kepentingan rakyat dan memastikan lebih 5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas  dengan  gangguan bekalan air akibat kegagalan SYABAS menyelenggara paip dengan baik dan berkala.
 
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: