Lee You Hin

Lee You Hin
SUBANG JAYA – “Saya bukan rampas tanah orang, ketika itu ia milik kerajaan negeri dan pejabat tanah luluskan selepas permohonan dibuat mengikut prosedur biasa,” kata Ketua Pemuda MCA Bahagian Kelana Jaya, Lee You Hin.

Difahamkan, nama beliau adalah salah seorang yang didedahkan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan sebagai individu terlibat dengan skandal sapu tanah satu Malaysia (SAT1M).

You Hin berkata, setiap rakyat di negara ini termasuk Adun yang mendedahkan namanya itu berhak memohon kawasan tanah pendudukan sementara (TOL) atau tanah kerajaan.

Beliau berkata, permohonan dihantar kepada pejabat tanah, melalui satu jawatankuasa ia akan dipertimbangkan sama ada diberi kelulusan atau tidak.

Semalam akhbar ini melaporkan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow membuat pendedahan beberapa nama pemimpin Barisan Nasional (BN) Bahagian Kelana Jaya yang dipercayai terlibat dengan skandal pemberian tanah ketika zaman pemerintahan parti itu.

Menurutnya, selepas skandal digelar sapu tanah satu Malaysia (SaT1M) dibongkar Adun Sekinchan, Ng Sue Lim beberapa bulan lalu di Sidang Dewan, jawapan diberikan wakil rakyat BN bertentangan dengan apa yang didapati

Sambil tidak menafikan ada membuat permohonan, You Hin yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Pemuda MCA Bahagian Subang berkata, apa yang dimohon dipertimbangkan dan tidak nampak wujud ada apa-apa masalah berhubung perkara itu.

Menyentuh isu premium tanah yang didakwa terlalu murah, You Hin berkata, kerajaan BN ketika itu prihatin dan mengenakan kadar rendah untuk setiap permohonan tanah tanpa memberi keistimewaan kepada sesiapapun.

"Ia jelasnya berbeza dengan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sekarang yang mementingkan keuntungan serta tidak prihatin mengenai kadar premium terlalu tinggi kepada pemilik.

“Memang kadar premium rendah ditentukan mengikut dasar kerajaan ketika itu, saya tidak dapat kadar istimewa, perlu diingat ia akan meningkat dari masa ke semasa mengikut permintaan.

“Sekarang permohonan tanah dikenakan kos yang tinggi, kerajaan PR juga kenakan kadar tinggi kepada pemaju, akhirnya terpaksa dibayar pengguna, rakyat yang tanggung kerugian,” katanya.

Beliau yang menggesa Hannah Yeoh supaya tidak mengungkit hal terbabit lagi berkata, wakil rakyat Subang Jaya itu perlu menunjukkan  kepada rakyat apa yang dilakukannya selama lima tahun memerintah.

Katanya, beliau melahirkan rasa kecewa kerana meski sudah memerintah selama lima tahun, Hannah Yeoh seolah-olah tidak faham pentadbiran.

Jelasnya, wakil rakyat wanita itu sebenarnya yang perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung penyelewengan dilakukan bekas pembantunya dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE) .

Sementara itu, Penyelaras BN Parlimen Kelana Jaya, Ong Chong Swen pula ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenai isu (pemberian tanah) terbabit.

Beliau berkata, ketika itu masih belum aktif dalam politik dan hanya berperanan sebagai ketua komuniti sahaja.

 “Saya tidak berkait dalam isu ini...saya tidak dapat tanah itu...dan kerana tidak ada maklumat penuh saya tidak boleh komen banyak,” katanya.