Kecewa dengan khidmat Syabas

HANNAH
SUBANG JAYA -  Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan sekali lagi melahirkan kekecewaan beliau berhubung kelemahan perkhidmatan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang dikatakan tidak memberi notis awal gangguan bekalan air berlaku di Subang Jaya, sejak kelmarin.

Menurutnya, situasi itu kerap berlaku dan penduduk khusus di kawasan SS14, SS15, SS17, SS18, dan SS19 sering mengalami kesukaran apabila tiada makluman awal diberitahu.

Katanya, apabila masalah gangguan air dibangkitkan kepada syarikat utiliti itu, beliau dimaklumkan permintaan air tinggi ketika musim panas kebelakangan ini.

Jelasnya, Syabas memberitahu paras air di kolam lapangan terbang Subang menurun antara salah satu faktor kekurangan sumber itu berlaku.

Dalam maklum balas Syabas, Hannah memberitahu pihak itu menjelaskan akan berusaha mendapatkan bekalan air alternatif untuk dibekalkan kepada pengguna.

Beliau, jelasnya hairan dengan jawapan tidak munasabah diberikan iaitu ketiadaan hujan menyebabkan sumber air tiada untuk dibekalkan kepada pengguna.

“Sepatutnya jika tahu keadaan itu berlaku, Syabas perlu beri notis kepada pengguna dan memberitahu tahap air sedang menurun. Saya kecewa dengan alasan diberikan Syabas setiap kali masalah gangguan air berlaku,” katanya.

Hannah berkata, lebih menambahkan kekecewaannya apabila penduduk mengadu talian aduan Syabas juga tidak dijawab apabila mereka hendak mengutarakan isu itu.

Januari lalu, Hannah Yeoh melahirkan kekecewaannya berhubung perkhidmatan Syabas dengan mendakwa  penduduk mengadu syarikat itu tidak memberi notis awal sebagai persediaan untuk menyimpan air sebelum gangguan bermula.

Jawapan diberi Syabas, paras air di empangan rendah kerana tiada hujan selama dua hari ketika itu juga dakwanya tidak masuk akal.

Beliau sebelum ini kesal kerana gangguan bekalan air di Subang Jaya sering berlaku ketika musim perayaan.