Tuesday, October 29, 2013

Program ADUN Muda Selangor

 
 
KENYATAAN MEDIA: PELANCARAN PROGRAM ADUN MUDA SELANGOR 2013

Program ADUN Muda Selangor akan dianjurkan oleh Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor khas bagi mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi di sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka merasai prosiding sebenar di Dewan Negeri sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Program ini akan diadakan pada 16 – 18 Disember 2013 di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 - 24 tahun daripada institut-institut pengajian tinggi awam, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan-persatuan mahasiswa. Hanya 30 anak muda yang akan dipilih untuk menyertai program ini.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program baru yang diadakan buat pertama kali di Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang prosedur dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri. Peserta-peserta akan diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan tentang polisi-polisi kerajaan khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda dan juga diberi kesempatan mencadangkan usul untuk memperkenalkan satu undang-undang baru di Selangor. Persidangan di dalam Dewan Negeri Selangor di mana para peserta akan memainkan peranan sebagai ADUN, akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Tuan Speaker dan Timbalan Speaker.

Program ini ditujukan khusus kepada mahasiswa dan mahasiswi kerana merekalah pelapis pemimpin negara. Ini merupakan satu inisiatif kerajaan Selangor untuk mendidik golongan muda tentang peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat dan mendedahkan mereka kepada dunia politik dari peringkat awal. Objektif program ini juga adalah untuk memupuk sifat kepimpinan dan saling bekerjasama di kalangan peserta serta melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab.  

Tempoh permohonan akan bermula dari 29 Oktober 2013. Pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web www.adunmudaselangor.com sebelum 8 November 2013.

Program ADUN Muda Selangor telah dilancarkan oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker dan beberapa ADUN muda yang lain pada 29 Oktober 2013 (Selasa) di Pejabat Speaker, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada jam 10.00 pagi.
 
Bersama ADUN Damansara Utama YB Yeo Bee Yin, ADUN Gombak Setia YB Hasbullah, Timbalan Speaker YB Nik Nazmi dan ADUN Bukit Gasing YB Rajiv Rishyakaran