Thursday, December 5, 2013

PENGENALAN GARIS PANDUAN BAHARU BERJAYA JIMATKAN PERBELANJAAN PERUNTUKAN MARRIS

KENYATAAN MEDIA

5 DISEMBER 2013

Kerajaan Selangor telah memperkenalkan dan mengguna pakai garis panduan baharu dalam penggunaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia atau MARRIS bermula 2012 selepas mendapati garis panduan yang lama terbuka kepada salah guna kuasa serta ketirisan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah membuat ketetapan khusus dan garis panduan yang ketat bagi memastikan penggunaan peruntukan MARRIS digunakan dengan betul, berkesan dan menepati keperluan kumpulan sasaran iaitu rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim berkata oleh kerana garis panduan baru ini melibatkan banyak agensi dan peringkat selain turut melibatkan proses tender terbuka – telah menyebabkan kelewatan dalam pembelanjaan wang MARRIS.

“Kami mencari formula yang terbaik bagi memastikan wang tersebut dibelanja setimpal dengan kerja yang dilakukan serta memberi pulangan yang terbaik kepada rakyat Selangor.


“Kelewatan juga disebabkan Kerajaan Negeri mahu mengambil kira pandangan akar umbi yang melibatkan Ketua Komuniti, Ahli Majlis, ADUN dan Ahli Parlimen berkenaan projek-projek mendesak mengikut keutamaan mereka.

“Selain itu, proses rundingan dan khidmat nasihat serta penetapan formula terbaik untuk dipakai Jawatankuasa Pelaksana turut menyumbang kepada kelewatan dalam membelanjakan peruntukan MARRIS yang disalurkan oleh Persekutuan,” kata beliau.

Beliau juga berkata, meskipun berlaku kelewatan namun garis panduan baharu telah berjaya diguna pakai dan terdapat penjimatan ketara dari segi kos serta nilai yang perlu dibayar bagi projek-projek yang dilaksanakan dan ianya sangat penting dan bermakna kepada kerajaan negeri.

Sebagai contoh, untuk projek bawah PBT, kerajaan negeri telah berjaya menjimatkan sejumlah RM29.21 juta atau 24.5% daripada kos anggaran projek, RM1.02 juta atau 21.1% untuk projek bawah pejabat daerah dan RM62.82 juta atau 18% untuk projek bawah Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna, secara keseluruhannya Kerajaan Negeri telah menjimatkan sejumlah RM93 juta atau 19.3% daripada anggaran jabatan dan dana ini boleh digunakan untuk projek lain yang berguna kepada rakyat,” katanya lagi.

Menteri Besar menegaskan, beliau tidak gusar dengan Laporan Audit 2012 tersebut kerana wang MARRIS yang tidak dibelanjakan tidak hangus sebaliknya akan diletakkan di dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaran Jalan Negeri dan boleh digunakan apabila perlu.


Dengan penjimatan itu juga peruntukan MARRIS untuk Selangor bagi tahun 2013 masih berbaki RM149 juta selepas RM290 juta atau 66.3% telah dibelanjakan  bagi projek infrastruktur seluruh Selangor  seperti  membaiki jalan dan  cerun
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab serta mengutamakan ketelusan dan pertanggungjawaban, Selangor lebih suka menggunakan dengan cermat dan berhati-hati kerana jika kita berbelanja atas sebab kita mahu menghabiskan peruntukan, kebarangkalian untuk berlaku ketirisan amat tinggi. Jika ini berlaku, akhirnya rakyat Selangor juga yang akan rugi,” tambah beliau.

Berhubung teguran Audit Negara berkenaan kelewatan membelanjakan wang MARRIS tersebut, Menteri Besar berpandangan sepatutnya Audit Negara menumpukan fokus kepada tatacara penggunaan wang yang disalurkan;  samada mengikut ketetapan dan garis panduan kewangan yang betul bukannya isu wang tersebut dibelanjakan sepenuhnya.

Menteri Besar juga berasa agak musykil dengan pendedahan Audit bahawa menurut tinjauan Audit Negara rakyat dikatakan tidak berpuashati terhadap mutu jalan raya Selangor kerana Menteri Besar berpandangan penyataan tersebut menunjukkan jabatan telah lari dari tugas dan matlamat sebenar yakni memastikan wang dibelanjakan dengan tertib dan mengikut garis panduan yang ditentukan Perbendaharaan.

Menteri Besar turut menegaskan situasi buruk jalan raya di negeri ini adalah disebabkan jalan-jalan tersebut tidak diturap dengan baik sejak 20 tahun yang lalu dan turapan secara permukaan sahaja tidak dapat menampung kerosakan teruk.

Kerajaan Selangor komited untuk memastikan infrastruktur dalam keadaan baik dan memuaskan demi keselesaan rakyat yang  selama ini memberi sumbangan besar terhadap pembangunan dan kemajuan negeri.

DIKELUARKAN OLEH

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR