Monday, December 8, 2014

Peletakan Jawatan YB Sungai Burong sebagai Ketua Pembangkang


KENYATAAN MEDIA BERTARIKH 8 DISEMBER 2014: 
PELETAKAN JAWATAN Y.B. DATO MOHD SHAMSUDIN BIN LIAS SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI SELANGOR

Saya telah menerima surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang daripada Y.B. Dato’ Mohd Shamsudin Bin Lias, Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Sungai Burong yang bertarikh 8 Disember 2014 dan saya menghormati keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Saya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pembangkang sejak Jun 2013. 

Seperti yang sedia maklum, Dewan Negeri Selangor telah meluluskan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor pada 4 Disember 2014 dimana Peraturan Tetap 68 (1) telah dipinda supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan (PAC) hendaklah dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang. 

68(1) Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan dan dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang kerana memeriksa:
(a) kira-kira Kerajaan Negeri Selangor dan peruntukan wang yang dibenarkan oleh Dewan kerana menepati perbelanjaan Negeri;
(b) apa-apa kira-kira badan pentadbiran raya dan pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam Dewan;
(c) penyata Juru Audit Negara dibentangkan dalam Dewan menurut Perkara 107(2) dalam Perlembagaan Persekutuan; dan
(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Dewan kepada Jawatankuasa itu.

Oleh yang demikian, saya menggesa Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor menamakan salah seorang daripada Ahli Dewan Negeri Selangor BN sebagai Ketua Pembangkang supaya pihak pembangkang BN dapat melaksanakan tugas dan memainkan peranan mereka di dalam pentadbiran Dewan Negeri Selangor secara efektif dan berkesan demi rakyat Selangor.

Saya mengambil maklum bahawa Y.B. Dato’ Shamsuddin ada membangkitkan isu komposisi di dalam Jawatankuasa PAC yang didakwa berat sebelah dan tidak mencerminkan semangat demokrasi yang sebenar. Saya ingin menyatakan di sini bahawa Peraturan Tetap 72 (1) bagi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor secara nyata memperuntukan bahawa komposisi ahli bagi tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan hendaklah membayangkan kadar parti masing-masing di dalam Dewan. Peruntukan yang sama juga terdapat di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat melalui Peraturan 82 (1). Amalan yang sama digunapakai oleh parlimen di negara komanwel yang lain seperti di Australia, United Kingdom, India dan New Zealand. 

Hannah Yeoh
Speaker
Dewan Negeri Selangor

No comments: